Sambil menyinsing lengan baju kurungnya, Cik Senah mengaut sambal laju-laju. Ada dua "large order" dari Minah Opis Berskirt Pendek. Dalam pada itu dia membayangkan Samsung Galaxy Tab 10.1 di Low Yat Plaza yang diwindow shoppingnya minggu lepas.
"Cepat sikit kak, saya dah lambat ni," gesa Minah Opis Berskirt Pendek sambil melihat jam tangan Vincci dua tiga kali. Bibirnya yang disapu dengan gincu SimplySiti warna pink muncung sedikit, tanda protes-protes manja.
“Kejap dik, dua bungkus je lagi ni.”
Cekatan Cik Senah kita membungkus baki dua nasi lemak ayam yang diorder oleh Minah Opis tadi. “Fuhh!” keluhnya lega bila Minah Opis berlalu sambil menghayun lenggang besar-besar ke stesen LRT Universiti. Awal-awal bulan begini memang ramai pelanggan, maklum saja gaji masih banyak berbaki di tangan. Tunggu tengah bulan sikit, kuranglah pelanggannya. Rezeki ditangan Tuhan, getus Cik Senah dalam hati.
Dia bahagia begini. Walaupun hanya meniaga di kaki lima jalan, namun rezekinya melimpah-ruah berkat sambal nasi lemaknya yang sedap. Melekat di tekak, kata salah seorang pembelinya. Susah benar nasi lemaknya tidak laku. Paling tidak tinggal sebungkus dua, itupun kalau hujung bulan. Selalunya dia sedekahkan sahaja pada Mail Gila yang selalu lalu-lalang di situ setelah puas merayau semalaman. Bila orang kata membazir sahaja diberi pada Mail Gila, dia membantah mengatakan apa salahnya rezeki dikongsi bersama. Jangan jadi tamak, setakat sebungkus nasi apalah sangat. “Yang penting kita niat baik, nak bagi dia makan, akak kesian tengok dia.” terangnya lagi. Mungkin berkat nasi lemak sebungkus dua itulah yang membuatkan jualannya laku setiap hari tanpa ada bersisa. Namun tak pernah dia lupa untuk mengetepikan sebungkus nasi lemak buat Mail Gila.
Namun hari ini dia tertunggu-tunggu akan Mail Gila. Tak nampak langsung akan kelibatnya. Selalunya pagi-pagi begini dia dah lalu, getus hati Cik Senah. Sampai nasi lemaknya habis, dah berkemas meja dan bangku tempat dia berjualan pun tak nampak bayangnya.
“Ah biarlah, dia merayap ke tempat lain agaknya.”
Cik Senah lantas meletakkan meja lipat dan bangku ke dalam kereta Iswara miliknya. Sebaik sahaja dia berpaling, dilihatnya Mail Gila tersengih-sengih di belakangnya. Melihat Mail berbaju carik, berkaki ayam dan rambutnya yang kusut-masai itu sudah jadi pemandangan biasa bagi Senah.
“Ya Rabbi budak ni, terkejut akak dibuatnya. Kau lambat hari ni, ke mana ajelah berjalan agaknya?” Bebel Cik Senah sambil menghulurkan nasi lemak ayam buat Mail Gila. Dia menyambut sambil tersengih-sengih, terus duduk di tepi kaki lima sambil membuka bungkusan nasi. Cik Senah menggeleng-geleng kepala sambil meneruskan aktiviti mengemasnya yang terbantut tadi. Mail Gila makan laju-laju tak pandang kiri kanan. Sedap benar dia makan nampaknya. Cik Senah yang selesai mengemas membuka pintu kereta, langsung masuk menghidupkan enjin. Mail yang sudah selesai makan, datang menghampiri Senah sambil tersengih-sengih.
“Ha, kenapa Mail?”
Mail geleng. Senah pelik.
“Nak air ke? Cekik?” sambil menghulurkan air masak dalam botol kecil kepada Mail.
Mail geleng lagi. Senah makin pelik.
Perlahan-lahan Mail hulurkan sehelai kertas. Tertera alamat rumah, lengkap dengan poskod sekali. Senah mula mengerti.
“Mail nak balik rumah? Senah hantarkan ye?” Mail angguk.
Sepanjang perjalanan, Mail tetap diam tanpa berkata sepatah pun. Senah menumpukan pemanduan, mencari rumah mengikut alamat yang tertera. Kereta Iswara itu berhenti di tepi sebuah banglo indah, di pinggiran Kuala Lumpur. Senah rasa macam tak masuk akal, tapi memang itulah alamatnya. Sementelah pula bertanya di sana-sini, sahih lagi benar itulah rumahnya.
“Mail tinggal di sini?” Soal Senah, lurus.
“Ha ah.” Pertama kali Mail Gila membuka mulut. Senah terkulat-kulat, jadi janggal tak menentu. Mail pandang Senah sambil senyum manis. Senah rasa seram-seram sejuk.
“Terima kasih Hasnah, sebab hantarkan saya balik. Jumpa lagi esok.” Mail membuka pintu kereta, menutupnya dan meninggalkan Senah terpinga-pinga sendirian.
*******************************************
Esoknya Senah menunggu lagi Mail Gila. Kali ini dengan seribu satu persoalan yang bersarang di kepala, namun dia rasa kurang enak untuk bertanyakan hal peribadi Mail Gila. Dan dia mula merasakan Mail Gila sebenarnya tak gila. “Ke aku yang dah gila?” Makin difikirkan, Senah makin bingung.
Sedang dia termenung di meja jualan menunggu pelanggan, seorang lelaki menghampirinya. Senah mengangkat kepala, terperanjat. Mail Gila bukannya Mail Gila lagi. Mail Gila hari ini berpakaian kemas, segak dengan kemeja dan jeans. Rambutnya disisir rapi, bak gaya lelaki metroseksual. Senah tiba-tiba segan, dia hanya berbaju kurung cotton bunga kecil, berkerudung putih kosong tanpa manik dan berselipar jepun. Bedak muka pun tak terpupur.
“Hasnah!” Mail menegurnya sambil merenung Senah dalam-dalam. Terasa kembang hati Senah ditenung-tenung Mail yang makin meletup-letup kacaknya.
“Ya?”
Mail keluarkan satu kotak kecil warna merah dari dalam poket. Mata Senah berkaca-kaca.
Sekarang barulah dia memahami kenapa Mail Gila selalu datang ke gerainya setiap pagi selama tiga bulan. Dan dia sudah tahu kenapa Mail tidak berbau busuk hangit walaupun selalu berbaju carik dan berkaki ayam.
Lampu neon pagi itu tampak lip lap lip lap di mata Senah.
0 comments:
Post a Comment